|
|
SAMSUNG Malaysia Electronics (SME) baru-baru ini memantapkan rangkaian LCD monitornya dengan memperkenalkan siri model terbaru yang merangkumi model pengguna, perniagaan dan komersial.
Barisan LCD tahun 2008 itu, dihasilkan sejajar dengan trend pengguna yang cenderung ke arah reka bentuk dan fungsi terkini.
Dimulakan dengan produk T series, siri model tersebut hadir dengan dua model iaitu T220 bersaiz 22 inci dan T240 bersaiz 24 inci yang turut dilengkapi dengan ciri-ciri menarik sekali gus memperbaharui fungsi dalam rangkaian pembuatannya.
Menarik tentang T series, monitor skrin lebar itu didatangkan dengan ciri skrin Crystal Clear dan nisbah kontras dinamik tinggi 20,000:1 yang menjanjikan pantulan imej yang tajam selain menghasilkan warna yang terang.
Dalam pada itu, Samsung juga telah mengambil langkah menggabungkan teknologi touch of Color yang bertindak sebagai pengimbang bagi menerapkan warna lut cahaya pada keseluruhan monitor terbarunya.
Skrin T series tersebut yang mendapat perakuan Microsoft Windows Vista itu boleh didapati dengan dua warna iaitu hitam ros dan hitam nilam.
Selain itu, bagi melengkapkan prestasi monitor tersebut model T240 didatangkan dengan input HDMI yang memastikan kualiti imej lebih tajam.
Menyentuh mengenai aspek sambungan, kedua-dua skrin LCD T series itu juga hadir dengan kemudahan sambungan USB bagi memudahkan penyelarasan dengan gajet lain.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Samsung Malaysia Electronics (SME), Min Yong Ho, penghasilan rangkaian monitor LCD ini bertujuan membawakan peranti paparan terbaik di kalangan produknya yang setaraf serta menyediakan penyelesaian kepada pengguna.
‘‘T Series, Aqua Series, Mckinley Series dan Lime Series dijangkakan mampu memenuhi kepuasan pengguna sekali gus menghasilkan kualiti tontonan yang jelas,’’ katanya.
Model
Sementara itu, Lime Series pula hanya dengan satu model sahaja iaitu 225UW yang hadir merupakan skrin lebar bersaiz 22 inci.
Model tersebut dikatakan sesuai dan mampu diselaraskan dengan aplikasi Microsoft Office Communicator yang dibangunkan dengan kemudahan kamera web terbina dalam 2 mega piksel.
Berteraskan resolusi tinggi 1,680 x 1,050 serta nisbah aspek 16:10, monitor tersebut mampu menghasilkan kualiti imej unggul bagi kegunaan profesional.
Seperti skrin monitor yang lain, ia turut dilengkapi kemudahan slot sambungan USB dengan dua pangkalan, dwiinput bagi DVI-D dan analog.
Ciri Magic Color memperhebatkan monitor bagi membolehkan kawalan ton warna dan gambar dilakukan selain berfungsi untuk menambah baik warna pintar serta memperbaiki kualiti imej secara automatik.
Dalam pada itu, ciri Magic Bright II membolehkan pengguna memilih mod tontonan, seperti teks, permainan, sukan dan filem khusus untuk disesuaikan mengikut cita rasa.
Seterusnya, Samsung juga mengambil inisiatif dalam menghasilkan monitor LCD berformat besar yang direka khas untuk kegunaan korporat dan paparan komersial.
Monitor bersaiz 70 inci itu juga telah terpilih bagi anugerah Produk Inovasi CES 2008.
Ia sesuai untuk digunakan di lapangan terbang, gedung membeli-belah, pasar raya, universiti bangunan, pejabat, bank dan tempat-tempat awam yang tertutup.
Dibangunkan dengan resolusi berdefinisi tinggi penuh (HD) (1,920 x 1,080), Beethoven Plus dikatakan mampu menghasilkan imej besar tanpa menjejaskan kualiti gambar.
Lebih menarik, model LCD berskrin besar itu boleh diselaraskan dengan perisian MagicNet Pro yang berfungsi membenarkan pengguna untuk mengawal beberapa skrin melalui satu komputer pusat.
Perisian MagicNet Pro turut berupaya menyiarkan pelbagai kandungan menerusi skrin berlainan pada waktu berbeza dan paparan juga boleh dijadualkan sebulan lebih awal.
Perisian tersebut dijayakan melalui fungsi panel Paparan Maklumat Digital yang terbina khusus untuk skrin monitor besar.
Manakala bagi golongan profesional, Samsung tidak ketinggalan untuk menyediakan monitor LCD profesional Hubble 245B Plus bersaiz 24 inci.
Monitor tersebut dikatakan memberi sudut tontonan yang luar biasa (178/178 darjah) sekali gus menyokong rangkaian aplikasi berbilang tingkap dengan kejelasan imej beresolusi tinggi.
Dengan ciri tersebut pengguna mampu menjalankan beberapa tugasan dan aplikasi dengan paparan serentak menerusi satu skrin.
Kehadiran teknologi MagicSpectrum menyokong penuh resolusi tinggi monitor yang berfungsi memancarkan warna yang sukar dicapai dalam usaha menghasilkan warna sama dengan imej foto.
Maklumat dan spesifikasi lengkap produk boleh didapati dengan melayari laman web www.samsung.com.